Arkib

Thursday, 11 July 2013

Ramadhan Al Mubarak 1434



Renungan Ramadhan 3

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara sunat puasa yang sering dipandang ringan oleh ramai umat Islam kini
ialah bersahur. Bersabda Nabi (saw):
“ Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.”
(hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:
“ Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggalkan, walau seorang di
antaramu hanya meneguk air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan
mengucapkan selawat kepada orang-orang yang bersahur”.
(hadis Riwayat Ahmad)
Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur tersebut, seperti dinyatakan oleh
‘Amar bin Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):
“Para sahabat Nabi Muhammad (saw) itu adalah orang-orang yang paling
bersegera berbukanya dan paling lambat bersahurnya”
(Riwayat Baihaqi)

Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar dari sahur dan melewatkannya.
Pertama, ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa. Tetapi lebih besar
ertinya pada kita ialah sahur memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat
dari Allah dan para malaikat. Bukan mudah untuk kita melayakkan diri menerima
ucapan selawat daripada Pencipta dan Penguasa Alam dan para malaikat-Nya.
Ini merupakan satu anugerah yang perlu direbut oleh setiap insan. Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.

Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat ialah ia akan memastikan kita
berjaga di penghujung malam menjelang subuh; satu saat yang amat mustajab
untuk berdo’a. Ambillah peluang bangunnya kita di waktu sahur untuk
menunaikan dua rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdo’alah kepada-Nya
Yang Maha Mendengar. Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur menjelang subuh akan
memastikan agar kita dapat solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang
amat disukai. Menurut sebuah hadis dari Abu Mas’ud al-Ansari:
Bahwa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh di saat kelam pada akhir
malam (di awal waktu subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya ketika hari
mulai terang. Setelah itu solat tetap dilakukannya pada waktu gelap tersebut
sehingga beliau wafat, dan tidak pernah lagi di waktu hari telah mulai terang.”
(riwayat Abu Daud dan Baihaqi)
Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat sunat subuh yang disebutkan
oleh Nabi (saw):
“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
(hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)

Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya sekadar untuk makan
menambah tenaga bagi menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan jika
seseorang merasakan dirinya telah kuat. Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia
adalah satu sunnah Nabi, melakukannya memberi kita peluang mendapat
selawat dari Allah dan para malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yang
mustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan dapat pula bersolat sunat yang
begitu besar ganjarannya.
Semoga Allah mempermudahkan kita untuk istiqamah di atas sunnah Nabi-nya.






Wednesday, 10 July 2013

Ramadhan Al Mubarak 1434



Renungan Ramadhan 2

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Allah swt berfirman, maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kami berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa .
(Surah al-Baqarah: 183)
Ayat ini merupakan ayat yang menitahkan fardhu puasa pada tahun kedua hijrah. Di samping menyatakan kewajipan puasa, ayat ini juga menyatakan tujuan dari ibadah puasa kita “agar kamu bertaqwa”. Darjah taqwa ialah darjah tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang hamba. Orang yang bertaqwa dijanjikan surga oleh Allah:
“ Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya”
(Surah al-Qalam:34)
“ Dan bersegeralah kepada keampunan dari Tuhan-mu dan syurga yang
bidangnnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang
bertaqwa.”
(Surah ali-Imran: 133)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang bertaqwa akan memperolehi hidayah yang Allah turunkan di
dalam al-Quran:
“Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan di dalamnya petunjuk
bagi orang-orang yang bertaqwa. “
(Surah al-Baqarah: 1-2)
Orang-orang yang bertaqwa bukan sahaja mendapat kejayaan di akhirat bahkan
layak mendapat bantuan Allah di dunia lagi. Firman Allah bermaksud:
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan
baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangkasangka.”
(Surah at-Talaq: 2-3)
Orang-orang bertaqwa merupakan orang yang paling mulia di sisi Allah:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang
yang bertaqwa dari kalangan kamu”
(Surah al-Hujurat: 13)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Oleh itu, taqwa adalah darjat yang begitu tinggi, yang melayakkan seseorang menjadi orang paling mulia, dijanjikan syurga, diberikan hidayah dan keampunan serta diberikan bantuan sejak di dunia lagi. Pasti untuk memperolehinya agak sukar. Namun kini peluangnya terbuka luas dengan tawaran istimewa dari Allah SWT. Janji Allah, jika kita berpuasa dengan sebenar puasa, pasti kita kan mencapai darjat taqwa. Marilah sama-sama kita berdoa dan berusaha untuk memastikan agar puasa kita Ramadhan ini mampu melonjakkan kita ke darjat taqwa. Amin.



Tuesday, 9 July 2013

Ramadhan 1434H



KeArah Ramadhan
Yang Lebih Bermakna
…cebisan tazkirah menyelami rahsia Ramadhan untuk bacaan setiap hari …
Selamat Menyambut Ramadhan

Renungan Ramadhan 1

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita
dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadhan. Inilah yang sering kita
doakan :
“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke
bulan Ramadhan.”
Kita juga bersyukur kerana malam ini kita dapat bersama dalam majlis solat
terawih, salah satu sunnah yang amat diberatkan di bulan Ramadhan. Semoga
Allah memanjangkan umur kita bagi memperoleh segala keberkatan Ramadhan
dan mengekalkan kita dengan iltizam dan komitment kepada solat terawih.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan
bermaksud:
“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah
mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat
pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang
terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)
Demikian bunyi pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah (saw) setiap
menjelangnya Ramadhan. Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadhan adalah satu peristiwa yang amat bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya yang penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat di bulan ini. Adalah rugi kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya.
Rasullullah (saw) menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan kita
berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk
beramal begitu luas terbentang, jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda
dipermudahkan, jalan ke arah dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian
Allah yang tiada-tolok bandingnya.
Nah.. jika begitu. Kita tanyakan diri kita pada malam pertama ini. Mahukah kita menerima tawaran dan pemberian Allah ini? Mahukah kita menjadi hamba-Nya
yang mendapat keberkatan lailatul qadr yang lebih baik dari seribu bulan yang
bersamaan lebih 83 tahun.. mungkin melampaui kadar umur kita?
Sebaliknya ingatlah pesanan di hujung hadis tersebut:
“Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya
sesungguhnya dia rugi”.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Maka pada malam ini, marilah kita tetapkan niat kita untuk menimba sebanyak
mungkin keberkatan di bulan Ramadhan. Pada malam ini, kita tingkatkan
komitment kita untuk rakus dan haloba mencari pahala. Malam ini juga kita
pasang janji kita untuk berlumba memanfaatkan masa yang begitu terhad untuk
beramal dan beribadah. Pada malam ini kita bulatkan tekad untuk tidak tergolong
ke dalam golongan yang rugi.

Monday, 18 February 2013

motivasi



RAHSIA PELAJAR CEMERLANG
Ø  Jaga solat lima waktu, banyakkan membaca Al Quran, zikir dan doa
Ø  Dengar nasihat guru dan ibubapa. Minta restu dan doa dari mereka
Ø  Berikan tumpuan 100% dalam kelas. Datang awal ke kelas
Ø  Catatkan setiap perkara yang tidak difahami, tanya dan selesaikan segera
Ø  Mesti ada buku kecil, untuk mencatat maklumat semasa dan”to fo list”
Ø  Siapkan kerja sekolah sebelum membuat ulangkaji
Ø  Ulangkaji apa yang telah dipelajari sekurang-kurangnya 2 – 3 jam
Ø  Buat banyak latihan, latih tubi dan simulasi peperiksaan
Ø  Pilih kawan yang betul. Salah pilih kawan, salah pilih masa depan