Arkib

Tuesday, 11 October 2011

LUQMANUL HAKIM MODEL TARBIYAH ISLAM


        Apabila menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih
        tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak
        menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah
        dan seminar. 

        Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang
        mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Justeru
        itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh
        Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Lukman kepada anaknya
        ialah: 

        1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata
        para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati
        dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang
        lebat. 

        2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah
        berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di
        atas katilmu. 

        3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan
        datang tiba-tiba. 

        4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya.
        Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya. 

        5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman. 

        6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang
        lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika
        berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan
        pertolongan daripadanya. 

        7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit
        daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang
        lebih sedikit tadi. 



        AQIDAH 

        Masalah aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan seorang
        muslim. Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam. Dewasa ini kita
        dapati banyak penyelewengan terjadi sama ada dari segi pemikiran, perkataan
        mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca daripada tidak memahami aqidah
        Islam secara mendalam. 

        Firman Allah yang bermaksud: 

        "Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: "Wahai anak
        kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang
        lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Surah
        Luqman: 31). 

        Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya
        supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu
        harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca
        daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa
        anak-anak sejak dari kecil lagi. 

        Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak.
        Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu
        mengenai pelajaran tauhid. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak
        generasi muda mudah tergelincir keimanannya? 

        Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan
        dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental. Membentuk jiwa
        anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya
        adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan. 

        Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik
        membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir
        dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan
        membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Sebagai
        contoh Sahal bin Abdullah menceritakan bahawa: 

        "Ketika aku berumur tiga tahun, aku sudah mulai bangun malam dan memerhatikan
        bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia bertanya kepada aku, adakah
        engkau mengingati Allah yang menjadikan engkau? Lalu aku bertanya, bagaimana
        cara mengingati-Nya?, kemudian beliau berkata kepada ku, sebutkan dalam hatimu
        tiga kali ketika hendak tidur tanpa menggerakkan lidah mu (Allah bersamaku, Allah
        melihatku dan Allah menyaksikanku). 

        Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku menyebutnya tujuh
        kali pada setiap malam. Selepas itu disuruhnya pula sebelas kali sehingga aku
        merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku. Setelah berlalu masa setahun, maka
        dia berkata kepadaku, "Wahai Sahal! jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan engkau
        itu dan bacalah ia hingga engkau masuk ke dalam kubur." 

        Katanya lagi, "Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang Allah
        sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat maksiat lagi?
        Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksiat." Melalui proses latihan yang
        disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang murni muncullah Sahal menjadi
        seorang ulama' yang terkenal. 



        SOLAT 
          

        Firman Allah bermaksud: 

        "Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." (Surah Luqman: 17). Islam
        memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah diberikan
        kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana sabda Rasulullah
        s.a.w bermaksud: "Pokok pangkal sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat dan
        kemuncaknya adalah jihad fi sabillillah." Solat yang dikhendaki oleh Islam bukanlah
        sekadar berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan. 

        Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh perhatian dan
        tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan
        kebesaran Allah, itulah solat yang diterima oleh Allah SWT. 

        Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa seseorang.
        Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan dan
        melatih badan agar sentiasa segar dan cergas. Dari segi akhlak pula ia mencegah
        perbuatan mungkar dan menjaga waktu manakala dan dari segi kemasyarakatan
        solat mendidik persamaan dan persaudaraan. 
          



        Berbakti kepada kedua ibu bapa 

        Firman Allah yang bermaksud: 

        "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya
        mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh
        menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. "Bersyukurlah kepadaKu dan
        kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku jua tempatmu kembali." (Surah Luqman: 41)

        Ibu bapa mempunyai kedudukan yang paling istimewa. Mereka menduduki tempat
        yang kedua sesudah beriman kepada Allah dan Rasulullah. Oleh kerana itu, tiada
        seorang pun di atas muka bumi ini yang dapat menyamai kedua dua ibu bapa.
        Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib ke atas setiap anak dalam apa jua keadaan
        sekalipun ia merupakan asas terpenting dalam pendidikan Islam. 

        Manakala menderhaka kepada kedua ibu bapa adalah berdosa besar. Adalah mudah
        bagi anak-anak yang sudah biasa terdidik atas sikap berbakti dan menghormati
        kedua ibu bapa untuk dididik dan diasuh supaya menghormati jiran tetangga,
        guru-guru dan seterusnya menghormati manusia seluruhnya. 



        SABAR 

        Kesabaran adalah suatu keperluan dalam usaha menegakkan keimanan,
        melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Semuanya
        bukanlah suatu perkara yang mudah. Oleh itu, ia sangat memerlukan kesabaran.
        Kesabaran dalam menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan kesusahan lain.
        Begitu juga kesabaran amat perlu dalam menempuh jalan perjuangan yang amat
        panjang dan semestinya mengikuti tahap-tahap yang teratur untuk menuju
        matlamat. 



        JANGAN SOMBONG  

        Sifat takabur adalah lahir daripada perasaan bangga diri yang merasakan dirinya
        lebih baik daripada orang lain. Biasanya seseorang yang takabur dikuasai oleh
        sifat-sifat buruk lain seperti taksub, mudah marah, dendam dan hasad dengki.
        Sebaliknya, Islam menganjurkan tawadduk kerana ia salah satu sifat terpuji yang
        amat digalakkan oleh Islam. Kalau takabur menjadi punca pertelingkahan dan
        perbalahan, maka tawaduk adalah pengikat yang menguatkan persaudaraan,
        mengukuhkan perpaduan serta melahirkan keselamatan dan ketenangan. 



        KESEDERHANAAN  

        Kesederhanaan menggambarkan ketenangan dan kesopanan tingkah laku. Tenang
        dan sopan santun adalah buah daripada budi pekerti mulia yang sangat dituntut oleh
        Islam. Begitu juga melembutkan suara ketika bercakap adalah menjadi ukuran
        pekerti mulia. 



        DAKWAH  

        Adalah menjadi fardhu ain bagi setiap muslim supaya melaksanakan tugas menyuruh
        kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. 

        Firman Allah bermaksud: 

        "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada
        kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar,
        merekalah orang-orang yang beruntung," (Surah Ali Imran: 104). 

        Pendidikan Luqman adalah pendidikan yang menyeluruh dan lengkap meliputi
        asas-asas aqidah, ibadat, akhlak dan dakwah. Oleh sebab itulah Allah telah
        merakamkan pendidikan Luqman itu untuk dijadikan contoh kepada umat Islam
        sepanjang zaman.  
         

99 Langkah Menuju Kesempurnaan Iman

01. Bersyukur apabila mendapat nikmat;
02. Sabar apabila mendapat kesulitan;
03. Tawakal apabila mempunyai rencana/program;
04. Ikhlas dalam segala amal perbuatan;
05. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;
06. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;
07. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan;
08. Jangan usil dengan kekayaan orang;
09. Jangan hasad dan iri atas kesuksessan orang;
10. Jangan sombong kalau memperoleh kesuksessan;
11. Jangan tamak kepada harta;
12. Jangan terlalu ambitious akan sesuatu kedudukan;
13. Jangan hancur karena kezaliman;
14. Jangan goyah karena fitnah;
15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri.
16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram;
17. Jangan sakiti ayah dan ibu;
18. Jangan usir orang yang meminta-minta;
19. Jangan sakiti anak yatim;
20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;
21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;
22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid);
23. Lakukan shalat dengan ikhlas dan khusyu;
24. Lakukan shalat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid;
25. Biasakan shalat malam;
26. Perbanyak dzikir dan do'a kepada Allah;
27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;
28. Sayangi dan santuni fakir miskin;
29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;
30. Jangan marah berlebih-lebihan;
31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;
32. Bersatulah karena Allah dan berpisahlah karena Allah;
33. Berlatihlah konsentrasi pikiran;
34. Penuhi janji dan mintalah maaf sebab tidak dapat dipenuhi;
35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan;
36. Jangan percaya ramalan manusia;
37. Jangan terlampau takut miskin;
38. Hormatilah setiap orang;
39. Jangan terlampau takut kepada manusia;
40. Jangan sombong, takabur dan besar kepala;
41. Berlakulah adil dalam segala urusan;
42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;
44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;
45. Perbanyak silaturrahim;
46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;
47. Bicaralah secukupnya;
48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya;
49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;
50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;
51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin;
52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga;
53. Makanlah secukupnya tidak kekurangan dan tidak berlebihan;
54. Hormatilah kepada guru dan ulama;
55. Sering-sering bershalawat kepada nabi;
56. Cintai keluarga Nabi saw;
57. Jangan terlalu banyak hutang;
58. Jangan terlampau mudah berjanji;
59. Selalu ingat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia sementara;
60. Jauhkan diri dari perbuatan yang tidak bermanfaat
61. Bergaul lah dengan orang-orang soleh;
62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar;
63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu;
64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita;
65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan
66. Jangan membenci seseorang karena pahaman dan pendiriannya;
67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita;
68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan
69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan.
70. Jangan melukai hati orang lain;
71. Jangan membiasakan berkata dusta;
72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian;
73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab;
74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;
75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita
76. Jangan membuka aib orang lain;
77. Lihatlah orang yang lebih miskin dan yang lebih berprestasi dari kita;
78. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;
79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan;
80. Jangan sedih karena miskin dan jangan sombong karena kaya;
81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama,bangsa dan negara;
82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain;
83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;
84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;
85. Hargai prestasi dan pemberian orang;
86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan;
87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan.
88. Sediakan waktu untuk bersukan
89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fizikal mental kita menjadi terganggu;
90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;
91. Berusaha untuk melupakan kesalahan orang dan melupakan jasa kita;
92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan
berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina;
93. Jangan cepat percaya kepada berita sebelum dipastikan kebenarannya;
94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban;
95. Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan
96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri;
97. Waspadalah akan setiap ujian. Jangan lari dari kenyataan kehidupan;
98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan;
99. Jangan gembira di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang

Monday, 3 October 2011

Selamat Menghadapi PMR Anak Didik Ku. SEMOGA BERJAYA


TIPS BERADA DI DEWAN PEPERIKSAAN
Melangkah masuk ke dalam dewan dengan kaki kanan
Duduk dengan selesa
Keluarkan alat tulis
Jangan bawa masuk bahan-bahan yang dilarang
Baca doa penerang hati
Kalau gemuruh lakukan pernafasan permulihan, banyakkan berselawat
Senyum untuk mencari ketenangan
Bisikkan pada diri Insya Allah aku akan dapat menjawab dengan baik.

TIP MULA MENJAWAB PEPERIKSAAN

Mulakan dengan lafaz Basmallah
Baca arahan dengan teliti
Bahagikan masa dengan saksama
Jawapan HENDAKLAH MENGIKUT KEHENDAK SOALAN jangan jawab mengikut apa yang kita tahu
Jika menghadapi sebarang masalah, sila angkat tangan, beritahu, (bukan tanya jawapan)
Semasa menjawab dahulukan soalan yang mudah dahulu
Jika tidak dapat menjawab sesuatu soalan jangan gamam, letakkan tangan kanan di atas umbun-umbun kepala dan kemudian berselawat, tarik perlahan-lahan tangan ke arah belakang (dari depan ke belakang) Insya Allah dengan keberkatan selawat yang kita yakin, daya ingatan akan pulih, ameen
Jangan melakukan perbuatan yang mencurigakan.

Sunday, 2 October 2011

DOA


DOA-DOA UNTUK PELAJAR CEMERLANG, IN SYA ALLAH
Sumber ibnunaeem
1) Doa agar dikurniakan kefahaman yang baik dan ingatan yang sempurna (ketika mengulangkaji pelajaran) :
اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّينَ وَحِفْظَ المُرْسَلِينَ وإلْهَامَ المَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِينَ فِي عَافِيَةٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul, serta ilham daripada para Malaikat yang hampir dengan-Mu, kurniakanlah kami kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih”.
2) Doa selepas mengulangkaji pelajaran :
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu”.
3) Doa sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan :
وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدا
“Ya Allah, persiapkanlah kami akan urusan kami dengan petunjuk-Mu”.
4) Doa apabila terlupa ketika menjawab soalan :
سُبْحَانَ مَن لاَّ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو. اللَّهُمَّ ذَكِّرْنِي مَا نَسِيتُ
“Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa. Wahai Tuhanku, ingatkanlah daku apa-apa yang kulupa”.
5) Doa memohon kejayaan cemerlang :
اللَّهُمَّ إني أسْألُكَ الفَوْزَ عِنْدَ القَضَاءِ وَمَنَازِلَ الشُهَدآءِ وَعَيْشَ السُّعَدآءِ وَالنَّصْرُ عَلَى الأعْدآءِ
“Ya Allah, kami memohon daripada-Mu kejayaan dalam setiap ketentuan, tempat para syuhada’, dan kehidupan mereka yang bahagia serta kemenangan ke atas musuh”.
6) Doa ketika menerima kertas soalan :
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي
“Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”
7) Doa ketika sukar untuk menjawab soalan :
ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتغِيْثُ
“Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”