Arkib

Monday, 15 July 2013

RAMADHAN AL MUBARAK 1434



Renungan Ramadhan 5

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa puasa yang sedang kita jalani ini merupakan jalan singkat
untuk mendapat rahmat, pahala dan keberkatan dari Allah. Orang-orang yang berpuasa merupakan golongan yang terpilih, special, dan mempunyai keistimewaan pada hari qiamat. Sahal bin Sa’ad berkata bahawa Nabi (saw) bersabda:
“Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut “rayyan”. Akan
diseru pada hari qiamat: “ Mana orang yang berpuasa?”. Lalu bila orang yang
terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup”.
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa ini juga bakal menjadi pembela dan pemberi syafaat kepada kita.
Menurut Abdulah bin Umar (ra), Nabi (saw) bersabda:
“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada hari qiamat.
Berkata puasa: “Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat di
waktu siang, dan sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu”. Dan berkata
pula al-Quran: “ Engkau larang ia tidur di waktu malam, sekarang ia meminta
syafaat padaku mengenai itu”. Maka syafaat kedua mereka pun diterima oleh
Allah.” (hadis riwayat Ahmad)

Orang yang berpuasa akan bergembira apabila bertemu dengan Tuhannya nanti
seperti hadis dariAbu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda:
“ Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan
hati: di kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia
menemui Tuhannya nanti, ia akan gembira kerena puasanya.”
(hadis riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa’i)

Jelas kepada kita status atau kedudukan orang-orang yang berpuasa. Memang
dalam mengerjakan puasa itu terdapat kesukaran, keletihan dan kesusahan.
Memang puasa memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Tetapi yakinlah
dengan janji Allah melalui lisan Nabi-Nya ini. Puasa bakal memohon syafaat
bagi kita. Kita mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke
syurga. Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga
apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki.
Semoga Allah menggabungkan kita ke dalam orang-orang istimewa dan
memperoleh syafaat dari puasa yang kita kerjakan.



RAMADHAN AL MUBARAK 1434



Renungan Ramadhan 4

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan Ramadhan ialah solat sunat
tarawih yang kita hadiri pada malam ini. Solat ini sangat besar pahalanya seperti
hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah r.a. katanya:
“ Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan
Ramadhan, tetapi tidak mewajibkannya. Beliau bersabda: “Barangsiapa yang
bangun pada malam bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan
keredhaan Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.” “
Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi perangsang kepada kita
untuk solat tarawih. Baginda menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan
dari dosa-dosa yang telah lalu.

Saudara-saudari yang budiman,
Kita semua orang yang berdosa.. maka marilah kita merebut peluang untuk
mendapatkan keampunan bagi dosa-dosa kita. Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat yang diletakkan oleh Nabi (saw) untuk mendapat pengampunan dosa yang telah lalu ialah kita bangun
bersolat dengan “imaanan wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman, keikhlasan niat, penyerahan yang redha kepada Allah.
Ia bermakna kita perlu berusaha meningkatkan kualiti tarawih kita. Satu perkara yang sering menjadi bahan polemik mengenai tarawih ialah bilangan rakaatnya. Polemik ini akan tidak berkesudahan kerana masing-masing mempunyai kekuatan hujjahnya masing-masing. Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang dada dengan semua perbezaan pendapat yang wujud ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan salah satu pendapat yang lain. Jika kita berpegang dengan 8 rakaat, jangalah kita menyalahkan atau merendahkan orang yang melaksanakan 20 rakaat. Begitu juga, jika kita berpegang kepada 20 rakaat, janganlah kita menyalahkan atau meremehkan orang yang bersolat 8 rakaat. Allah maha Mengetahui isi hati, niat dan usaha manusia dan akan membalas sewajarnya.

Saudara-saudari yang budiman,
Apa yang perlu kita risaukan ialah, pertama kita bersolat tarawih. Janganlah
kerana tidak bersetuju dengan bilangan rakaat, kita langsung tidak mahu solat
tarawih. Kedua, bagaimana kualiti tarawih tersebut; tidak kira samada ianya 20
atau 8 rakaat. Peliharalah niat kita sentiasa.

Pokoknya, solat tarawih yang mempunyai kualiti “imaanan wah tisaaban” bukan
dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan perancangan yang
sedar dan pemilihan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita
dan memasukkan kita di kalangan orang yang diredhai-Nya.




Thursday, 11 July 2013

Ramadhan Al Mubarak 1434



Renungan Ramadhan 3

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara sunat puasa yang sering dipandang ringan oleh ramai umat Islam kini
ialah bersahur. Bersabda Nabi (saw):
“ Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.”
(hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:
“ Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggalkan, walau seorang di
antaramu hanya meneguk air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan
mengucapkan selawat kepada orang-orang yang bersahur”.
(hadis Riwayat Ahmad)
Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur tersebut, seperti dinyatakan oleh
‘Amar bin Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):
“Para sahabat Nabi Muhammad (saw) itu adalah orang-orang yang paling
bersegera berbukanya dan paling lambat bersahurnya”
(Riwayat Baihaqi)

Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar dari sahur dan melewatkannya.
Pertama, ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa. Tetapi lebih besar
ertinya pada kita ialah sahur memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat
dari Allah dan para malaikat. Bukan mudah untuk kita melayakkan diri menerima
ucapan selawat daripada Pencipta dan Penguasa Alam dan para malaikat-Nya.
Ini merupakan satu anugerah yang perlu direbut oleh setiap insan. Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.

Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat ialah ia akan memastikan kita
berjaga di penghujung malam menjelang subuh; satu saat yang amat mustajab
untuk berdo’a. Ambillah peluang bangunnya kita di waktu sahur untuk
menunaikan dua rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdo’alah kepada-Nya
Yang Maha Mendengar. Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur menjelang subuh akan
memastikan agar kita dapat solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang
amat disukai. Menurut sebuah hadis dari Abu Mas’ud al-Ansari:
“ Bahwa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh di saat kelam pada akhir
malam (di awal waktu subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya ketika hari
mulai terang. Setelah itu solat tetap dilakukannya pada waktu gelap tersebut
sehingga beliau wafat, dan tidak pernah lagi di waktu hari telah mulai terang.”
(riwayat Abu Daud dan Baihaqi)
Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat sunat subuh yang disebutkan
oleh Nabi (saw):
“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
(hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)

Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya sekadar untuk makan
menambah tenaga bagi menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan jika
seseorang merasakan dirinya telah kuat. Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia
adalah satu sunnah Nabi, melakukannya memberi kita peluang mendapat
selawat dari Allah dan para malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yang
mustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan dapat pula bersolat sunat yang
begitu besar ganjarannya.
Semoga Allah mempermudahkan kita untuk istiqamah di atas sunnah Nabi-nya.