Renungan Ramadhan 1
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita
dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadhan. Inilah yang sering kita
doakan :
“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke
bulan Ramadhan.”
Kita juga bersyukur kerana malam ini kita dapat bersama dalam majlis solat
terawih, salah satu sunnah yang amat diberatkan di bulan Ramadhan. Semoga
Allah memanjangkan umur kita bagi memperoleh segala keberkatan Ramadhan
dan mengekalkan kita dengan iltizam dan komitment kepada solat terawih.
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan
bermaksud:
“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah
mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat
pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang
terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikankebaikannya
sesungguhnya dia rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)
Demikian bunyi pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah (saw) setiap
menjelangnya Ramadhan.
Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadhan adalah satu
peristiwa yang amat bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah
salah satu syi’arnya yang penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat di
bulan ini. Adalah rugi kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan
keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya.
Rasullullah (saw) menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan kita
berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk
beramal begitu luas terbentang, jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda
dipermudahkan, jalan ke arah dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian
Allah yang tiada-tolok bandingnya.
Nah.. jika begitu. Kita tanyakan diri kita pada malam pertama ini. Mahukah kita
menerima tawaran dan pemberian Allah ini? Mahukah kita menjadi hamba-Nya
yang mendapat keberkatan lailatul qadr yang lebih baik dari seribu bulan yang
bersamaan lebih 83 tahun.. mungkin melampaui kadar umur kita?
Sebaliknya ingatlah pesanan di hujung hadis tersebut:
“Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya
sesungguhnya dia rugi”.
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Maka pada malam ini, marilah kita tetapkan niat kita untuk menimba sebanyak
mungkin keberkatan di bulan Ramadhan. Pada malam ini, kita tingkatkan
komitment kita untuk rakus dan haloba mencari pahala. Malam ini juga kita
pasang janji kita untuk berlumba memanfaatkan masa yang begitu terhad untuk
beramal dan beribadah. Pada malam ini kita bulatkan tekad untuk tidak tergolong
ke dalam golongan yang rugi
No comments:
Post a Comment