Arkib

Tuesday, 16 July 2013

TAZKIRAH RAMADHAN 1434



Renungan Ramadhan 8

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

 Dalam sebuah hadis, Nabi (saw) bersabda:
Tidaklah berpuasa itu dari makan-minum semata, tetapi berpuasa itu adalah dari
perbuatan kosong dan perkataan keji. Maka jika kau dicaci orang atau
diperbodohnya, hendaklah kamu mengatakan: “saya ini berpuasa, saya ini
berpuasa!”
(hadis riwayat Ibnu khuzaimah dan Ibnu Hibban)

          Jelas kepada kita bahawa puasa yang berkualiti bukan sekadar menahan diri
dari dari makan-minum. Tetapi kita perlu juga menahan diri dari perbuatan
kosong (lagha). Cuba bayangkan berapa banyak perbuatan lagha yang kita buat
hari ini; dari berbual kosong sehingga kepada bermain computer games atau
menonton television. Sebaliknya kita perlu sibukkan harian kita dengan kerjakerja
yang produktif; untuk dunia dan akhirat kita. Jika mempunyai luang dari
waktu bekerja mencari nafkah kita, sibukkan diri dengan membaca al-Quran,
terjemahannya atau berzikir atau i’tikaf atau menghadiri majlis ilmu atau
membaca buku-buku agama dan seumpamanya.

           Satu lagi adab penting orang berpuasa ialah mengawal lidah dan perasaan.
Orang yang berpuasa adalah seorang yang tenang, sabar dan berhati-hati dalam
percakapannya. Puasa itulah membolehkan beliau untuk mengawal diri dari
memberi tindak balas negatif apabila diuja dengan perkara-perkara negatif oleh
orang lain.
Abu Hurairah (ra) berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda:
Dan puasa itu merupakan perisai, maka janganlah seseorang yang berpuasa itu
berkata keji dan meninggikan suara atau mencaci maki. Dan seandainya dicaci
oleh seseorang atau diajaknya berkelahi hendaklah dijawabnya: “saya ini
berpuasa, saya ini berpuasa!”.
(hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Annisa’i)
            Begitu kuat tuntutan kita menjaga lidah ini ditekankan lagi dalam sebuah hadis lain pula di mana Nabi (saw) bersabda:
Sesiapa yang tidak menghentikan perkataan-perkataan dusta dan melakukan
kedustaan itu, maka Allah tidak merasa perlu ia meninggalkan makanminumnya.
(hadis riwayat Jama’ah kecuali Muslim)

            Marilah kita berusaha dan berdo’a agar Allah swt mempermudahkan kita
menjalani ibadah puasa kita dengan paling sempurna. Semoga puasa kita hari
ini lebih baik dari semalam, dan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.











Monday, 15 July 2013

RAMADHAN AL MUBARAK 1434



Renungan Ramadhan 7
Assalamu alaikum warahmatullah,

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Nabi (saw) mengingatkan kita bahwa di kalangan orang yang berpuasa, ada
yang tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan di sana pula terdapat golongan yang berpuasa dan memperoleh pelbagai keistimewaan dan keberkatan. Di dalam spektrum yang begitu luas, di manakah kita?
Untuk mencapai darjat tertinggi yang dianugerahkan kepada orang yang berpuasa, kita perlu memenuhi syarat lahiriahnya yakni menahan diri dari makan, minum dan perkara lain yang membatalkan puasa. Kita perlu juga menghidupkan sunat dan adab puasa seperti bersahur, menyegerakan berbuka, bertarawih, bersedekah dan membaca al-Quran. Tetapi itu saja tidak
mencukupi. Menurut Sheikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Mustakhlas fiTazkiyatun Nafsi, terdapat enam syarat tambahan yang perlu diberi perhatian oleh orang yang benar-benar berhajat meninggikan kualiti puasanya:

a.         Memejamkan mata serta mengekangnya jangan sampai memperluas, atau
memperdalamkan penglihatan, yakni melihat dengan berlebih-lebihan
kepada segala sesuatu yang tercela dan tidak baik dan dibenci oleh agama.
Demikian pula melihat apa saja yang menyebabkan hati terpesona, sehingga
lalai daripada mengingati Allah.

b.         Menjaga lisan dari perkataan yang tidak masuk akal atau senda-gurau yang
melampaui batas, atau berkata kotor, atau berkata yang sia-sia, atau
berdusta atau mengumpat, atau mengadu domba atau berkata jijik, atau
bertengkar atau memamerkan diri sendiri. Sebaliknya hendaklah diam atau
mengurangkan bicara yang tidak perlu dan menyibukkan diri dengan berzikir
kepada Allah gemar membaca al-Quran atau kitab-kitab agama.

c.         Menahan diri dari mendengar apa yang tidak disenangi dari ukuran agama,
sebab setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram
mendengarnya.

d.         Menahan anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa khususnya
tangan dan kaki jangan sampai melakukan hal-hal yang terlarang menurut kacamata agama. Begitu juga menahan perut dari makan apa-apa yang bukan sahaja haram tetapi juga yang syubhat, terutama di saat berbuka puasa.

e.         Menahan diri dari terlalu banyak makan atau menyediakan pelbagai makanan
ketika berbuka, sekalipun makanannya halal, sehingga perut sekan-akan tidak memuatnya lagi. Sebab tiada wadah yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh terisi. Puasa ialah untuk mematahkan segala macam kesyahwatan, maka adakah orang yang puasa itu wajar memupuk
kembali syahwatnya ketika berbuka? Sepanjang hari ia menekan nafsu maka ia adakah bermaksud membalas dendam nanti di waktu berbuka?

Pada siangnya, masih ketika berpuasa, ia membeli ini dan itu yang berupa
makanan dan waktu berbuka akan dihabiskan semua sekali. Maka tujuan puasa untuk melemahkan nafsu syahwat tetap tidak berhasil. Sewajarnya, sediakanlah makanan dan makanlah sekadar seperti mana hari-hari biasa di bulan lain, tanpa berlebih-lebihan atau mengistimewakannya sehingga
merangsang lagi nafsu.

f.          Hendaklah hatinya menggantung harap dan takut mengenai diterima atau
tidak puasanya hari itu. Hatinya berdebar-debar dan tidak tenteram; kerana belum ada kepastian. Jika diterima, pasti termasuk dalam golongan almuqarrabin yang mempunyai pelbagai keistimewaan. Jika tidak, maka pasti tergolong ke dalam golongan yang tertolak amalannya, lagi dimarahi
dan dimurkai-Nya. Orang yang tertipu oleh dirinya sendiri mengira ibadatnya pasti diterima, padahal ada kemungkinan tidak demikian. Nanti pada hari kiamat ia akan terkejut mengapa Allah tidak menerima malannya! Semoga Allah swt menerima membantu kita mengamalkan dan istiqamah
dengan keenam-enam perkara di atas ke arah meningkatkan kualiti puasa kita.





RAMADHAN AL MUBARAK 1434



Renungan Ramadhan 6

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

 Orang-orang yang berpuasa nanti akan mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga. Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu
dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki. Selain itu orang yang berpuasa juga dijanjikan kemapunan bagi dosa yang lalu. Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah (saw) telah bersabda:
“ Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana keimanan dan
mengharapkan keredhaan Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu”
(hadis riwayat Ahmad dan Ashabussunan)

Kalau dilihat bentuk hadis ini, ianya seakan sama dengan hadis mengenai
keutamaan solat tarawih (lihat Renungan Ramadhan 4). Di dalam hadis ini
bukan sahaja disebutkan janji keampunan dosa bagi orang yang berpuasa tetapi
juga syarat untuk mendapat anugerah ini iaitu berpuasa dengan “imaanan wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “ iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Puasa kita bukan kerana budaya, bukan kerana adat, bukan kerana manusia, bukan kerana kesihatan, bukan kerana ketiadaan makanan. Tetapi kerana keazaman kita memenuhi tuntutan iman dan benar-benar
mengharapkan keredhaan Allah.

Niat dan keazaman yang sedemikian akan menyebabkan kita tekun menjaga
syarat-syarat dan adab-adab dalam puasa kita; bagi melayakkan kita mendapat
keampunan bagi dosa-dosa kita yang lalu. Abu Said al-Khudri berkata bahawa
Nabi (saw) pernah bersabda:
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengetahui batasbatasnya
dan ia menjaga diri dari segala apa yang patut dijaga, dihapuskanlah
dosanya yang sebelumnya.” (hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Saudara-saudari yang budiman,

Jelas kepada kita bahawa hanya puasa yang terjaga dari batas-batasnya sahaja
yang akan diterima dan layak untuk menerima keistimewaan yang dijanjikan.
Sebab itu Nabi (saw) memberi kita peringatan, sekiranya kita tidak berhati-hati,
kita mungkin terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memperolehi
apa-apa dari puasa dan solat tarawih mereka.
Abu Hurairah berkata Nabi (saw) bersabda: “Berapa banyak orang yang
berpuasa, tetapi tiada yang diperolehinya kecuali rasa lapar dan berapa banyak
orang bersembahyang malam, tetapi tiada yang ia perolehi selain dari rasa
mengantuk” (hadis riwayat an-Nisai dan Ibn Majah)

            Yang dimaksudkan oleh Nabi (saw) ialah orang yang berpuasa hanya dengan berlapar tetapi tidak kerana mencari keredhaan Allah serta tidak kisah dalam menjaga adab-adab dan batasbatasnya
yang lain. Semoga Allah menjauhi kita dari termasuk ke dalam golongan ini; golongan orang yang berlapar dahaga tetapi tidak memperolehi apa-apa; puasa tidak diterima; dosa tetap tidak berampun.
Semoga Allah swt menerima puasa kita, mengampunkan dosa-dosa kita dan membantu kita ke arah meningkatkan kualiti puasa kita.