Renungan
Ramadhan 3
Saudara-saudari yang dirahmati
Allah,
Di antara sunat
puasa yang sering dipandang ringan oleh ramai umat Islam kini
ialah bersahur. Bersabda Nabi (saw):
“ Makan sahurlah, kerana makan sahur
itu berkat.”
(hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis
lain, Nabi (saw) bersabda:
“ Bersahur itu berkat maka janganlah
kamu tinggalkan, walau seorang di
antaramu hanya meneguk air. Kerana
Allah dan para Malaikat-Nya akan
mengucapkan selawat kepada
orang-orang yang bersahur”.
(hadis Riwayat Ahmad)
Dan adalah
disunatkan kita melewatkan sahur tersebut, seperti dinyatakan oleh
‘Amar bin Maimun mengenai para
sahabat Nabi (saw):
“Para sahabat Nabi Muhammad (saw)
itu adalah orang-orang yang paling
bersegera berbukanya dan paling
lambat bersahurnya”
(Riwayat Baihaqi)
Di sana
terdapat hikmah dan berkat yang besar dari sahur dan melewatkannya.
Pertama, ia memberi
kekuatan kepada yang berpuasa. Tetapi lebih besar
ertinya pada kita ialah sahur
memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat
dari Allah dan para malaikat. Bukan
mudah untuk kita melayakkan diri menerima
ucapan selawat daripada Pencipta dan
Penguasa Alam dan para malaikat-Nya.
Ini merupakan satu anugerah yang
perlu direbut oleh setiap insan. Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak
terlalu sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.
Satu lagi
hikmah yang besar dari sahur yang lewat ialah ia akan memastikan kita
berjaga di penghujung malam
menjelang subuh; satu saat yang amat mustajab
untuk berdo’a. Ambillah peluang
bangunnya kita di waktu sahur untuk
menunaikan dua rakaat solat tahajjud
atau hajat dan berdo’alah kepada-Nya
Yang Maha Mendengar. Di samping itu,
bangunnya kita untuk bersahur menjelang subuh akan
memastikan agar kita dapat solat
subuh di awal waktunya; satu amalan yang
amat disukai. Menurut sebuah hadis
dari Abu Mas’ud al-Ansari:
“ Bahwa Rasulullah (saw)
melakukan solat subuh di saat kelam pada akhir
malam (di awal waktu subuh),
kemudian pada kali lain dilakukannya ketika hari
mulai terang. Setelah itu solat
tetap dilakukannya pada waktu gelap tersebut
sehingga beliau wafat, dan tidak
pernah lagi di waktu hari telah mulai terang.”
(riwayat Abu Daud dan Baihaqi)
Di samping itu,
berkesempatan pula kita bersolat sunat subuh yang disebutkan
oleh Nabi (saw):
“Dua rakaat sunat subuh itu lebih
baik daripada dunia dan seisinya.”
(hadis Riwayat Ahmad, Muslim,
Tirmidhi dan an-Nisa’i)
Oleh itu, kita
tidak boleh memandang sahur hanya sekadar untuk makan
menambah tenaga bagi menguatkan
badan; mungkin tidak diperlukan jika
seseorang merasakan dirinya telah
kuat. Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia
adalah satu sunnah Nabi,
melakukannya memberi kita peluang mendapat
selawat dari Allah dan para
malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yang
mustajab, dapat solat subuh di awal
waktu dan dapat pula bersolat sunat yang
begitu besar ganjarannya.
Semoga Allah mempermudahkan kita
untuk istiqamah di atas sunnah Nabi-nya.
No comments:
Post a Comment