Renungan
Ramadhan 4
Saudara-saudari yang dirahmati
Allah,
Di antara
perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan Ramadhan ialah solat sunat
tarawih yang kita hadiri pada malam
ini. Solat ini sangat besar pahalanya seperti
hadis yang diriwayatkan oleh Muslim
dari Abu Hurairah r.a. katanya:
“ Rasulullah (saw) menganjurkan
untuk mengerjakan solat pada malam bulan
Ramadhan, tetapi tidak
mewajibkannya. Beliau bersabda: “Barangsiapa yang
bangun pada malam bulan Ramadhan
kerana iman dan mengharapkan
keredhaan Allah, maka diampunilah
dosa-dosanya yang telah lalu.” “
Cukuplah bagi
kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi perangsang kepada kita
untuk solat tarawih. Baginda
menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan
dari dosa-dosa yang telah lalu.
Saudara-saudari yang budiman,
Kita semua
orang yang berdosa.. maka marilah kita merebut peluang untuk
mendapatkan keampunan bagi dosa-dosa
kita. Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat yang diletakkan oleh
Nabi (saw) untuk mendapat pengampunan dosa yang telah lalu ialah kita bangun
bersolat dengan “imaanan wah
tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “iman dan mengharapkan keredhaan
Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman, keikhlasan niat,
penyerahan yang redha kepada Allah.
Ia bermakna
kita perlu berusaha meningkatkan kualiti tarawih kita. Satu perkara yang sering
menjadi bahan polemik mengenai tarawih ialah bilangan rakaatnya. Polemik ini
akan tidak berkesudahan kerana masing-masing mempunyai kekuatan hujjahnya
masing-masing. Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang dada dengan
semua perbezaan pendapat yang wujud ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan
salah satu pendapat yang lain. Jika kita berpegang dengan 8 rakaat, jangalah
kita menyalahkan atau merendahkan orang yang melaksanakan 20 rakaat. Begitu
juga, jika kita berpegang kepada 20 rakaat, janganlah kita menyalahkan atau
meremehkan orang yang bersolat 8 rakaat. Allah maha Mengetahui isi hati, niat
dan usaha manusia dan akan membalas sewajarnya.
Saudara-saudari yang budiman,
Apa yang perlu
kita risaukan ialah, pertama kita bersolat tarawih. Janganlah
kerana tidak bersetuju dengan
bilangan rakaat, kita langsung tidak mahu solat
tarawih. Kedua, bagaimana kualiti
tarawih tersebut; tidak kira samada ianya 20
atau 8 rakaat. Peliharalah niat kita
sentiasa.
Pokoknya, solat
tarawih yang mempunyai kualiti “imaanan wah tisaaban” bukan
dibuat sekadar melepaskan batuk di
tangga tetapi dengan perancangan yang
sedar dan pemilihan yang teliti.
Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita
dan memasukkan kita di kalangan
orang yang diredhai-Nya.
No comments:
Post a Comment