KeArah Ramadhan
Yang Lebih Bermakna
…cebisan tazkirah menyelami rahsia Ramadhan untuk bacaan setiap
hari …
Selamat Menyambut Ramadhan
Renungan
Ramadhan 1
Saudara-saudari yang dirahmati
Allah,
Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita
dipanjangkan usia untuk berada di
awal Ramadhan. Inilah yang sering kita
doakan :
“ Ya Allah berkatilah kami di bulan
Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke
bulan Ramadhan.”
Kita juga bersyukur kerana malam ini
kita dapat bersama dalam majlis solat
terawih, salah satu sunnah yang amat
diberatkan di bulan Ramadhan. Semoga
Allah memanjangkan umur kita bagi
memperoleh segala keberkatan Ramadhan
dan mengekalkan kita dengan iltizam
dan komitment kepada solat terawih.
Saudara-saudari yang dirahmati
Allah,
Rasulullah
(saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan
bermaksud:
“Sesungguhnya telah hadir bulan
Ramadhan, bulan berkat, Allah telah
mewajibkan ke atas kamu berpuasa,
dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat
pintu neraka dan ditambat para
syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang
terbaik dari seribu bulan. Sesiapa
yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)
Demikian bunyi
pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah (saw) setiap
menjelangnya Ramadhan. Pengumuman
ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadhan adalah satu peristiwa yang amat
bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya yang
penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat di bulan ini. Adalah rugi
kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu
banyak di dalamnya.
Rasullullah
(saw) menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan kita
berpuasa tetapi ia datang dengan
penuh keberkatan, yang mana jalan untuk
beramal begitu luas terbentang,
jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda
dipermudahkan, jalan ke arah dosa
dipersempitkan. Ini merupakan pemberian
Allah yang tiada-tolok bandingnya.
Nah.. jika
begitu. Kita tanyakan diri kita pada malam pertama ini. Mahukah kita menerima
tawaran dan pemberian Allah ini? Mahukah kita menjadi hamba-Nya
yang mendapat keberkatan lailatul
qadr yang lebih baik dari seribu bulan yang
bersamaan lebih 83 tahun.. mungkin
melampaui kadar umur kita?
Sebaliknya ingatlah pesanan di
hujung hadis tersebut:
“Sesiapa yang tidak berusaha
mendapatkan kebaikan-kebaikannya
sesungguhnya dia rugi”.
Saudara-saudari yang dirahmati
Allah,
Maka pada malam
ini, marilah kita tetapkan niat kita untuk menimba sebanyak
mungkin keberkatan di bulan
Ramadhan. Pada malam ini, kita tingkatkan
komitment kita untuk rakus dan
haloba mencari pahala. Malam ini juga kita
pasang janji kita untuk berlumba
memanfaatkan masa yang begitu terhad untuk
beramal dan beribadah. Pada malam
ini kita bulatkan tekad untuk tidak tergolong
ke dalam golongan yang rugi.
No comments:
Post a Comment