Renungan Ramadhan 10
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Ramadhan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara
serentak. Walaupun, oleh kerana kedudukan geografi yang berlainan, kita tidak
dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama.. tetapi semuanya
menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan
Ramadhan di tempat masing-masing.
Sesungguhnya Ramadhan membayangkan kesejagatan dan solidariti Islam. Di
setiap detik dalam 24 jam, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang
sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-
Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain merai’kan Ramadhan mubarak ini.
Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kumpulan
etnik, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadhan yang
serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini. Jelas terserlah ruh ayat
Allah:
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi
semesta alam.
( Surah al-Anbiyaa’:107)
Kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity) ini adalah ciri penting Islam.
Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga
dalam beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu di atas perkara
pokok dan prinsip.
Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa di bulan
Ramadhan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah dengan melihat
bulan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan
dibenarkan berbuka dan tiada yang mengatakan solat malam di bulan
Ramadhan itu amat digalakkan. Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip
dan tidak ada pertikaian mengenainya.
Namun di kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan “anak
bulan telah kelihatan” atau samada “orang yang dalam perjalanan yang mudah
perlu berpuasa atau tidak” dan samada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan
seumpamanya. Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya
tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujjah dan
nas yang kuat.
Perbezaan pendapat sedemikian juga tidak semestinya menyebabkan kita
berbalah; berkelahi atau rendah-merendahkan. Para sahabat pernah berbeza
pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka
Anas bin Maalik berkata:
"Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah (saw) semasa Ramadhan
dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan
yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan
yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa.
[ hadis riwayat Bukhari and Muslim]
Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi (saw) yang harus kita contohi. Tidak ada
sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau merasa
diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih wara’, lebih tinggi darjat
taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkaraperkara
khilafiyah sebegini. Ingatlah pesanan Allah:
Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum
yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari
mereka (yang mengolok-olokkan)
(surah al-Hujurat: 11)
Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita.
Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana kita
melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih
sempurna sambil kita memandang rendah orang lain.
Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’
kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.
Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika
itu bukanlah layak lagi kita digelar bertaqwa!
No comments:
Post a Comment