Renungan Ramadhan 20
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Perkara yang menukar arus perjalanan sejarah sering berlaku di dalam bulan
Ramadhan. Seperti kita lihat dalam Siri ke 18 dan 19, peristiwa turunnya al-
Quran begitu bererti kepada sejarah umat manusia. Setelah al-Quran
diturunkan, dengan kommunikasi langsung dari Allah, Rasulullah (saw) terus
giat berusaha berdakwah mengajak manusia kembali mengabdikan diri
sepenuhnya kepada Allah. Baginda berjaya mendapat sokongan beberapa
individu tetapi mendapat tentangan hebat dari seluruh kepemimpinan Makkah.
Lalu Allah memerintahkan Nabi(saw) berhijrah ke Yathrib dan menjadi pemimpin
bagi masyarakat Madinah.
Puak anti-Islam Quraish di Makkah tidak berdiam diri. Mereka tetap berusaha
menghancurkan gerakan dakwah Nabi (saw). Pelbagai tektik dan cara digunakan
sehingga akhirnya terjadilah Ghazwah (Perang) Badar. Ghazwah Badar yang
terjadi pada 17 Ramadhan tahun kedua hijrah merupakan satu lagi titik tolak
yang penting dalam sejarah umat Islam, bahkan sejarah umat manusia.
Pada saat itu, segerombolan manusia Muslimin bersama Nabi mereka; satusatunya
kumpulan manusia di dunia yang menyembah Allah yang satu akan
berhadapan dengan tentera Quraish yang anti Islam, anti Tauhid, anti
penyembahan kepada Allah semata-mata. Ianya merupakan pertembungan
Iman melawan kekufuran, Islam melawan jahiliyah, tauhid melawan syirik,
perhambaan kepda Allah melawan perhambaan kepada selain Allah. Ini
merupakan saat dan ketika yang amat genting. Ditambah pula dengan bilangan
dan keadaan kelengkapan yang tidak saksama. Quraish dengan 1000 orang
tentera; 600 daripadanya berbaju besi, serta 100 ekor kuda dan beratus ekor
unta. 313 orang tentera Muslimin hanya mempunyai beberapa ekor kuda dan
kira-kira 70 ekor unta. Mereka terpaksa bergilir-gilir untuk menaiki haiwanhaiwan
kenderaan tersebut.
Gentingnya saat itu boleh dilihat daripada do’a Nabi (saw):
Ya Allah! Inilah tentera Quraish yang datang dengan penuh kesomobongan
untuk menghalang hamba-Mu daripada menyembah-Mu dan mereka
mendustakan Nabi-Mu. Ya Allah, berikanlah pertolongan yang Kau janjikan. Ya
Allah! Jika bilangan kumpulan yang kecil ini musnah pada hari ini, maka tiadalah
lagi manusia yang bakal menyembah-Mu!”
Di dalam Surah al-Baqarah, ketika menceritakan kisah silam mengenai tentera
Thalut mengalahkan tentera Jalut, Allah mengingatkan kita bahawa kekuatan
material tidak semestinya menjamin kemenangan. Kumpulan yang kecil tidak
semestinya kalah:
Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah berkata:
"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang
banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar".
(surah al-Baqarah: 249)
Kisah yang terjadi di zaman Thalut iaitu pada zaman Nabi Daud (as) muda
remaja itu berulang di medan pertempuran Badar. Kumpulan Muslimin
memusnahkan tentera Quraish yang lebih besar beserta pelbagai kelengkapan.
70 orang termasuk pembesar Quraish terbunuh, 70 lagi ditawan sementara
Muslimin hanya kehilangan 22 orang yang gugur sebagai antara syuhada’
pertama.
Allah yang Maha Kaya, Maha Perkasa memperkenankan do’a Nabi-Nya dan
menerima pengorbanan dan penyerahan total tenterra Muslimin dan memberi
kemenangan kepada mereka.
Marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan Tentera Muslimin di Badar yang
melalui mereka Allah telah memenangkan agama-Nya dalam pertempuran yang
paling genting, paling decisive dalam sejarah Islam. Melalui mereka, dengan izin
Allah, kesinambungan gerakan dakwah Nabi dapat berterusan sehingga kita kini
dapat menikmati nikmat cahaya hidayah-Nya. Sempena mengingati mereka di
bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita mencontohi kegigihan dan
kesungguhan serta pengorbanan mereka.
No comments:
Post a Comment