Renungan Ramadhan 26
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya bulan Ramadhan itu bulan yang berganda kerana segala
kebaikan yang dilakukan akan diganjarkan olah Illahi dengan pahala yang
berganda-ganda.
Tetapi ada kalanya kita terlupa atau mungkin kita sengaja buat-buat terlupa
dengan dugaan dan ujian Allah swt kepada kita kerana di dalam bulan
Ramadhan itu juga, nafsu kita berganda.
Berganda dengan tamaknya ketika membeli lauk pauk berbuka, berganda
dengan sifat tidak sabarnya ketika menghadapi sewaktu berbuka dan berganda
dengan sifat membazir ketika membuat persiapan Aidilfitri. Dari sifat buruk dan
tidak terkawal kita itu, adakah kita sebenarnya telah mencapai erti sebenarnya
KEMENANGAN yang Allah swt. janjikan khusus buat mereka yang diterima 100
markah puasanya?
Bulan Ramadhan yang Allah swt. perkenankan hanya kepada umat Muhammad
saw. yang bakal kita tinggalkan lagi beberapa hari lagi, hanya datang sekali
dalam setahun. Tanya diri kita sendiri sahabat, di dalam 30 hari Ramadhan itu
tidak semuanya benar-benar menghayati Ramadhan. Orang awam seperti kita
adakalanya telah memendekkan waktunya selama seminggu sehingga menjadi
23 hari Ramadhan sahaja.
Kerana di waktu penghujungnya, kita hanya sibuk mengejar-ngejar persiapan
menyambut Aidilfitri yang sepatutnya persiapan itu boleh kita lakukan sebelum
Ramadhan lagi. Mana perginya kita ketika amalan beribadah seharusnya
dipertingkatkan khususnya di hari-hari terakhir Ramadhan tetapi kita sibuk di
gendung-gendung dan di bazaar-bazaar pada siangnya.
Malamnya pula kita sibuk dengan mempertingkat jumlah dan jenis kuih-kuih,
biskut-biskut dan kudapan raya sehingga kita terlupa dan sengaja meninggalkan
malam-malam yang sepatutnya kita menambahkan saham beribadah kita.
Masjid dan surau semakin kurang dan semakin susut bilangan safnya. Kita sibuk
meniru orang lain, bercerita tentang rahsia dan rahmat malam seribu bulan tetapi
hakikatnya kita sendiri tidak pernah untuk cuba menggapainya. Memang secara
teorinya senang, pelaksanaannya yang sukar.
Allah swt. mengharamkan jasad umatNYA yang gembira dan senang dengan
ketibaan Ramadhan dari api neraka. Begitu juga kepada mereka-mereka yang
sangat berat hatinya meninggalkan Ramadhan. Kerana itu, kalau kita dapat lihat
siaran langsung solat di Masjidil Haram di Makkah Mukarramah, ramai di antara
orang-orang alim dan soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh dengan
keberkatan ini. Bagi mereka, tidak ada bulan lain yang menyamai bulan
Ramadhan.Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang bersedih dan
dukacita meninggalkan Ramadhan atau sebaliknya?
Sementara masih ada sisa Ramadhan ini, sama-samalah kita cuba
mempertingkatkan nilai permarkahan puasa kita agar dapat kita menikmati
kerberkatan dan hikmah berpuasa dan cuba menghidupkan malam Lailatul
Qadar, jika mampu.
Biarlah Ramadhan yang cuma sekali dalam setahun itu benar-benar memberi
kesan yang keinsafan dan ketakwaan terhadap diri kita.
No comments:
Post a Comment