Arkib

Sunday, 21 August 2011

TAZKIRAH RAMADHAN 24


Renungan Ramadhan 24

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Spektrum sedekah seperti yang dinyatakan di dalam Renungan Ramadhan 23
amat luas. Ia meliputi segenap perbuatan dan usaha untuk memanfatkan diri
sendiri dan juga orang lain. Secara spesifik, kita boleh memberi manfaat kepada
orang lain dengan memudahkan seseorang, meringankan penderitaannya, atau
membantunya ketika ia dalam kesusahan, atau sekurang-kurangnya
mengelakkan dari menimbulkan musibah atau kesengsaraan ke atasnya.
Termasuk di dalam definisi sedekah tersebut di dalam hadis yang diutarakan di
dalam Renungan Ramadhan 23 ialah berlaku adil. Ini bermakna sekiranya kita
memastikan kita berlaku adil kepada orang lain, ianya dianggap sedekah. Kita
perlu berlaku adil; adil mungkin dari segi hukuman jika kita menghukum, atau adil
dalam membahagi jika kita orang yang tugasnya membahagi, dan juga adil
dalam membuat kesimpulan, keputusan atau telahan dari apa yang kita dengar,
atau baca atau lihat. Ini kerana jika kita tidak berlaku adil, kita menimbulkan
kesulitan dan kesengsaraan kepada orang lain.
Ayat 6 Surah al-Hujurat diturunkan mengenai insiden di mana Muslimin bersedia
mengambil tindakan terhadap sebuah kabilah kerana mendengar satu berita
daripada seorang tanpa meneliti kesahihan berita tersebut:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik dengan
sesuatu berita, selidikilah, agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada
sesuatu kaum dalam kejahilan dan kemudian kamu menyesali kesan tindakan
kamu tersebut."
(surah al-Hujurat:9)
Dalam ayat ini, kita tidak dibenarkan membuat sebarang judgement, apa lagi
tindakan terhadap seseorang individu atau sesuatu kaum (atau organisasi atau
badan) tanpa kita memastikan kesahihan maklumat yang diberikan kepada kita.
Kadang-kadang kita tidak berlaku adil dalam menyebarkan berita. Kita
mendengar berita melalui saluran-saluran tertentu dan terus menyebarkannya
tanpa usul periksa, tanpa menyemak kesahihannya. Padahal kita dilarang dari
menelan bulat-bulat apa yang kita baca, dengar atau lihat. Sebaliknya, kita
diminta menyiasat dan menimbangkan dengan teliti sebelum menerimanya; apa
lagi menyebarkannya. Dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini pun kadangkala
terjadi kita sering terlalu cepat kita menyebarkan berita mengenai sesuatu
sebelum kita memastikan kesahihannya.
Contoh yang ketara yang sering berlaku ialah kisah-kisah sensasi yang sering
dilaporkan di media cetak. Ia mungkin berbentuk ‘skandal’ yang seringkali
melibatkan artis dan ahli-ahli politik. Kita perlu bersabar mengekang semangat
kita yang mahu terus menghukum individu berkenaan tanpa memastikan
kesahihan berita berkenaan. Begitu juga dengan kisah-kisah pelik, aneh dan
menakjubkan seperti yang sebahagiannya sering diceritakan oleh sebahagian
guru-guru agama dan pendakwah. Berhati-hatilah ketika menerima,
mempercayainya, membuat kesimpulan atau menyebarkannya kisah-kisah
sedemikian. Biar siapapun yang mula mencetuskannya, kita mengundang dosa
sekiranya kita menyebarkan sesuatu yang tidak benar-benar berlaku.
Dalam zaman canggih ini, kita boleh menyebarkan berita melalui internet ke
seluruh dunia hanya dengan memetik beberapa butang papan-kunci komputer.
Oleh itu, kita lebih perlu berhati-hati kerana berkemungkinan kita menyebarkan
pendustaan yang akan disebarkan pula oleh orang lain dan seterusnya.
Misalnya, terdapat manusia atau organisasi yang dizalimi kerana penyebaran
maklumat tanpa sandaran; apa lagi melalui internet. Misalnya sebuah institusi
kewangan Islam pernah difitnah di internet sebagai terlibat dengan perusahaan
arak. Penyebaran berita sedemikian akan menyebabkan kita melakukan
ketidakadilan kepada institusi kewangan berkenaan dan menimbulkan keraguan
di kalangan pelabur.
Satu ketika dulu di internet pernah juga disebarkan berita mengenai salah
seorang pelakon sebuah filem kanak-kanak yang terkenal masuk Islam dan
kemudiannya di bunuh. Tetapi alangkah terkejutnya kita apabila kita
dimaklumkan bahawa pelakon yang sama baru-baru ini berlakon di dalam filem
turutan (sequel), beliau masih hidup dan kelihatannya belum Muslim. Berita
‘tokoh terkenal masuk Islam’ seperti ini telah beberap kali terjadi dan apabila
didapati palsu menjadi bahan momokan di kalangan pendakyah agama lain.
Sempena bulan Ramadhan ini, marilah kita bertekad untuk berlaku adil dengan
segenap perkara. Sempena memburu lailatul Qadr ini, marilah kita berusaha
untuk memastikan kita lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita; agar kita
tidak sampai menzalimi orang lain. Sempena malam-malam akhir Ramadhan ini,
marilah kita berdo’a agar Allah menyerlahkan keadilan dan kebenaran dan
melenyapkan kezaliman dan ketidakadilan.

No comments:

Post a Comment