Arkib

Monday, 1 August 2011

TAZKIRAH RAMADHAN 4


Renungan Ramadhan 4

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan Ramadhan ialah solat sunat
tarawih yang kita hadiri pada malam ini. Solat ini sangat besar pahalanya seperti
hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah r.a. katanya:
“ Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan
Ramadhan, tetapi tidak mewajibkannya. Beliau bersabda: “Barangsiapa yang
bangun pada malam bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan
keredhaan Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.” “
Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi perangsang kepada kita
untuk solat tarawih. Baginda menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan
dari dosa-dosa yang telah lalu.
Saudara-saudari yang budiman,
Kita semua orang yang berdosa.. maka marilah kita merebut peluang untuk
mendapatkan keampunan bagi dosa-dosa kita.
Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat yang diletakkan oleh Nabi
(saw) untuk mendapat pengampunan dosa yang telah lalu ialah kita bangun
bersolat dengan “imaanan wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “
iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Maknanya kita memastikan
ketulusan iman, keikhlasan niat, penyerahan yang redha kepada Allah. Ia
bermakna kita perlu berusaha meningkatkan kualiti tarawih kita.
Satu perkara yang sering menjadi bahan polemik mengenai tarawih ialah
bilangan rakaatnya. Polemik ini akan tidak berkesudahan kerana masing-masing
mempunyai kekuatan hujjahnya masing-masing. Sikap terbaik dalam hal ini
ialah kita berlapang dada dengan semua perbezaan pendapat yang wujud ini
tanpa memperkecilkan atau meremehkan salah satu pendapat yang lain. Jika
kita berpegang dengan 8 rakaat, jangalah kita menyalahkan atau merendahkan
orang yang melaksanakan 20 rakaat. Begitu juga, jika kita berpegang kepada 20
rakaat, janganlah kita menyalahkan atau meremehkan orang yang bersolat 8
rakaat. Allah maha Mengetahui isi hati, niat dan usaha manusia dan akan membalas
sewajarnya.

Saudara-saudari yang budiman,

Apa yang perlu kita risaukan ialah, pertama kita bersolat tarawih. Janganlah
kerana tidak bersetuju dengan bilangan rakaat, kita langsung tidak mahu solat
tarawih. Kedua, bagaimana kualiti tarawih tersebut; tidak kira samada ianya 20
atau 8 rakaat. Peliharalah niat kita sentiasa.
Pokoknya, solat tarawih yang mempunyai kualiti “imaanan wah tisaaban” bukan
dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan perancangan yang
sedar dan pemilihan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita
dan memasukkan kita di kalangan orang yang diredhai-Nya.









No comments:

Post a Comment