Renungan Ramadhan 19
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Wahyu suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada bulan Ramadhan di
Gua Hira’ merupakan titik tolak penting dalam sejarah umat manusia. Wahyu
yang bermula dengan menyuruh manusia membaca, “Iqra’ “ mempunyai makna
yang mendalam.
Sepanjang 23 tahun perhubungan langsung tersebut, Allah telah menurunkan al-
Quran secara beransur-ansur.
“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan
kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi
sedikit.” (Surah al-Isra’: ayat 106)
Di sisi Allah, faktor atau dimensi masa tidak mempunyai apa-apa makna kerana
Dia Maha Mengetahui dan Maha Meliputi. Namun, bagi kita makhluknya yang
kerdil, tempoh masa tersebut begitu penting. Sepanjang tempoh tersebutlah
kita merasa begitu istimewa kerana kita mempunyai saluran yang langsung
kepad/daripada Allah melalui Rasul-Nya.
Sebelum peristiwa malam tersebut, dunia tenggelam dalam kegelapan.
Tamadun Yunani, Rom dan Parsi berada di ambang keruntuhan. Tamaddun
Mesir dan Mesopotamia hanya tinggal kesan sejarah. Tamadun China dan India
juga sedang berada di jurang kemusnahan.
Peristiwa malam tersebut merubah sejarah umat manusia. Tiba-tiba Allah
memberikan cahaya kepada alam semesta, memilih Nabi-Nya dari kalangan
bangsa Arab.
Orang Arab yang asalnya tidak bertamaddun, menyembah berhala, menanam
anak perempuan hidup-hidup, kaki judi, perempuan dan arak. Bertenung nasib
dan menindas yang lemah adalah budaya seharian mereka. Tetapi setelah
mereka menerima siraman cahaya ayat-ayat yang diturunkan sedikit demi
sedikit, mereka berubah menjadi orang yang paling mulia, paling bertamaddun
sehingga menjadi pemimpin empayar yang meliputi dua pertiga dunia.
Bermula dari pengisytiharan “Iqra “ oleh Jibrail pada malam yang penuh berkat
tersebut, sejarah manusia berubah wajah. Bahkan, banyak kemajuan kini
dalam pelbagai bidang sains, teknologi, geografi, matematik dan seumpamanya
boleh dikesan sebagai bersumber daripada usaha-usaha awal umat Islam yang
digerakkan oleh wahyu pertama, ‘Iqra’. “Iqra’ “ yang diturunkan di malam Lailatul Qadr telah menggerakkan mereka,
memberi nafas baru kepada mereka, memberi semangat waja kepada mereka,
memacu mereka menjadi pemimpin dunia.
Marilah kita mengambil semangat dari gugahan ‘Iqra’ “ ini dengan kita memacu
diri kita ke hadapan, menjalankan titah perintah-Nya dan membela agamanya
agar kita dapat mengembalikan tamaddunnya yang gemilang.
Di mana kita hendak bermula?
Kita boleh mulakan dengan diri kita. Marilah kita sama-sama membuat tekad
dan azam untuk membaca al-Quran, Wahyu Ilahi ini setiap hari samada di
dalam atau di luar bulan Ramadhan. Kita juga akan berusaha memahami
kalimah Allah ini melalui terjemahan, tafsir atau kuliah dan majlis Ilmu serta
berusaha beramal dan menghayatinya. Untuk mendapatkan kesan terbaik dari
bacaan al-Quran kita, kita ikutilah saranan yang diberikan di dalam Renungan
Ramadhan 17, semoga Allah merahmati kita.
No comments:
Post a Comment