Renungan Ramadhan 13
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Salah satu perkara menghantui umat Islam kini ialah isu Palestin yang belum
selesai. Kita merasa amat sedih dengan penderitaan harian yang dihadapi oleh
saudara-saudara kita di sana. Rumah mereka diruntuhkan, anak-anak mereka di
bunuh, wanita mereka dicabuli. Ini berlaku dalam tanah air kita dan mereka.
Palestin adalah tanahair kita. Bumi Baitul Maqdis adalah tanah suci Islam.
Walau apa pun yang cuba disembunyikan oleh pihak zionis, Palestin adalah
tanah suci Islam. Ia menjadi tanah suci Islam bukan hanya dengan isra’nya Nabi
Muhammad (saw) pada tahun ke 10 kenabian. Ia menjadi bumi Islam bukan
dengan penaklukannya pada zaman khalifah Umar (ra). Malah ia telah menjadi
tanah air kita umat Islam sejak zaman zaman Nabi Daud (as) dan Sulaiman (as),
kerana kedua-dua Nabi ini membawa agama Islam. Mereka membawa risalah
tauhid dan menyeru manusia untuk tunduk dan patuh kepada Ilahi; menyerah diri
atau Islam kepada Tuhan yang Maha Esa. Umat Islam kinilah yang mewarisi
risalah para Nabi (as) termasuk risalah Nabi Daud (as) , Sulaiman (as) dan
Muhammad (saw). Maka Palestin dan Baitul Maqdis adalah sejak asalnya tanah
milik umat Islam.
Tanah ini diceroboh kini. Hanya dengan cebisan nota oleh Lord Balfour pada
1917, dan mandat PBB pada 1947 negara parasit zionis telah ditubuhkan. Pada
1922, Yahudi merupakan 11% daripada penduduk Palestin tetapi apabila PBB
menubuhkan negara Israel pada 1947 rakyat Yahudi diberikan 56% tanah
Palestin. Virus kini merebak sehingga mereka menjajah dan menakluk
sehinggakan selepas Perang Arab-Israel pertama pada 1949, mereka telah
menguasai 80% dari tanah manakala 800,000 penduduk asal Palestin terpaksa
menjadi pelarian.
Tetapi isunya bukan sekadar tanah-tanah yang diduduki selepas perang 1949
atau 1967. Bahkan, tanah asal Israel seperti diputuskan oleh PBB pada tahun
1947 itu pun sudah haram diduduki kerana ia dirampas dari milik kita.
Kini mereka bermaharajalela lagi. Setiap hari kita akan mendengar kematian
anak-anak kita, penangkapan saudara-saudara kita, pencerobohan oleh tentera
Israel ke atas rumah tangga saudara-saudara kita. Bolehkah kita berdiam diri,
berpeluk tubuh melihat mereka terus menoda’i bumi tanah suci kita yang
disebutkan oleh Nabi (saw):
“ Tidak perlu disiapkan kenderaan untuk bepergian kecuali untuk mengunjungi
tiga Masjid; Masjidil Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa”
(hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud )
Mungkin kita merasa kecewa; tidak dapat berbuat apa-apa. Mungkin kita putus
asa kerana Amerika sentiasa berada di belakang dan membela segenap
tindakan ganas Israel. Kita mungkin merasa lemah melihat bagaimana Israel
yang telah membelakangkan begitu banyak resolusi PBB di biarkan lepas tanpa
hukuman sedangkan negara Islam yang lain seperti Iraq ditekan habis-habisan
walaupun hanya dengan satu resolusi PBB.
Namun, Allah akan memenangkan agamanya dan mewarisi bumi ini kepada
orang-orang yang beriman dan beramal saleh.
Apa yang kita perlu buat ialah berusaha untuk menukar keadaan ini dengan apa
juga cara yang termampu. Paling kurang kita boleh berdo’a dan memperbaiki
diri, keluarga dan masyarakat kita. Setidak-tidaknya kita boleh menyumbang
kepada Tabung Palestin. Dan paling penting tetapi tidak terlalu sukar ialah kita
menjayakan program boikot barangan Amerika. Jika terdapat alternatif, maka
tidak perlulah kita berurusan atau membeli apa juga jenama produk atau
perkhidmatan yang mempunyai kepentingan Amerika; samada yang diimport
terus atau dibuat secara berlesen atau francais oleh syarikat tempatan. Paling
terkehadapan dalam bab ini ialah Mcdonalds dan Starbuck Coffee yang jelas
memberi sokongan dan sumbangan kepada perjuangan zionis. Syarikat lain
juga mempunyai saham dengan membayar cuka kepada kerajaan Amerika. Jika
kita tidak mempunyai alternatif lain kecuali barangan Amerika, maka jadikanlah
ia pilihan terakhir; buy American last.
Kita tidak mahu hasil wang yang kita berikan kepada syarikat-syarikat ini akan
dibawa pulang ke Amerika dan seterusnya disalurkan kepada rejim zionis dalam
bentuk senjata dan peluru untuk meratah tubuh-tubuh kerdil anak-anak kita di
Palestin.
Ya Allah! Bantulah saudara-saudara kami di Palestin dan segenap tempat.
Menangkanlah mereka, ringankanlah penderitaan mereka.
Ya Allah! Musnahkanlah musuh-musuh kami dan musuh-musuhmu,
hancurkanlah kekuatan musuh dan gagalkanlah perancangan jahat mereka.
No comments:
Post a Comment