Renungan Ramadhan 16
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Membaca al-Quran adalah satu amalan yang amat digalakkan bagi seorang
Islam. Ini ialah kerana al-Quran ialah kitab Hidayah dari Allah yang diturunkan
bagi menjawab doa yang kita ulang-ulangkan di dalam surah al-Fatihah:
“ Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”.
(surah al-Fatihah: 6)
maka di jawab oleh Allah:
“ Alif, Lam, Mim. Inilah kitab yang tiada keraguan di dalamnya merupakan
petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”.
(surah al-Baqarah: 1,2)
Bukankah Puasa Ramadhan diwajibkan untuk membimbing kita ke arah taqwa..
dan kitab al-Quran itu merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Al-
Quran ialah petunjuk bagi orang yang bertaqwa yang mana salah satu cara
mendapat darjat ketaqwaan ialah dengan berpuasa di bulan Ramadhan yang
didalamnya diturunkan al-Quran. Di dalam rangkaian ayat mengenai kewajipan
berpuasa, Allah berfirman:
“ Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk
bagi umat manusia, penerang kepada petunjuk dan pembeza (anatra haq dan
batil).”
(surah Al-Baqarah: 185)
Maka hubungan di antara petunjuk Ilahi, bacaan al-Quran, puasa dan
Ramadhan menjadi kian jelas.
Dalam hadis yang telah di sebut di dalam Renungan Ramadhan 15 juga tertera
bukti bahawa Rasulullah bertadarrus dengan Jibrail pada bulan Ramadhan.
Maka adalah wajar untuk kita menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai
satu budaya harian kita di bulan Ramadhan. Adalah amat digalakkan jika kita
boleh mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali di bulan
Ramadhan. Dan alangkah baiknya jika budaya al-Quran ini boleh diteruskan
pada bulan-bulan selain Ramadhan.
Alangkah ruginya kita jika kita boleh menghabiskan berpuluh-puluh mukasurat
suratkhabar, majalah hiburan dan buku cerita tetapi kita enggan menjamah dan
membaca beberapa potong ayat al-Quran.
Walaupun kita digalakkan memperbanyakkan membaca al-Quran, adalah
penting untuk kita memastikan agar kita tidak hanya mementingkan kuantiti
tetapi juga kualiti bacaan kita. Kita perlu memnjaga adab-adab membaca al-
Quran, menghormati hukum-hukum tajwid dan membaca dengan tenang dan
teratur. Allah berfirman:
“ Orang-orang yang telah kami berikan al-Kitab, mereka membacanya dengan
bacaan yang sebenarnya (haqqa tilawatih), mereka itu beriman kepadanya”
(surah al-baqarah:121)
Dan firman-Nya lagi:
“ Dan bacalah al-Quran dengan tartil”.
(surah al-Muzammil: 4)
Sebab itu, Rasulullah melarang kita daripada mengkhatamkan al-Quran kurang
dari sekali dalam tujuh hari sebagaimana dinyatakan oleh Abdullah bin Amr :
“ Rasullullah (saw) bersabda kepadaku: “ Bacalah al-Quran dalam masa
sebulan.” Aku berkata: “ Ya Rasulullah, aku boleh berbuat lebih dari itu”.
Baginda bersabda: “ Bacalah dalam tujuh hari, dan jangan kurangkan dari
tempoh itu”.(hadis riwayat Bukhari)
Dalam hadis lain terdapat larangan mengkhatamkan kurang dari tiga hari.
Pokoknya, kita perlu membaca al-Quran dengan sempurna; sebaik-baiknya
khatam dalam sebulan yakni satu juzuk sehari tetapi tidak terlalu berkejarkejaran
sehingga menurunkan kualiti bacaan kita.
Semoga Allah memberi kekuatan bagi kita untuk mengikuti tuntutan kita untuk
berdampingan dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan ini.
No comments:
Post a Comment