Renungan Ramadhan 21
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Perang Badar begitu signifikan bagi sejarah Islam dan individu yang terlibat di
dalamnya dimuliakan oleh Allah. Dalam riwayat-riwayat hadis biasanya gelaran “
ahli Badr” disebutkan selepas menyebut nama-nama mereka.
Para Sahabat Nabi yang terlibat dalam perang Badar mendapat penghormatan
sehingga Nabi melarang Umar Ibn Khattab (ra) daripada mengapa-apakan Hatib
Ibn Abi Baltaah yang cuba memberi amaran awal kepada penduduk Makkah
mengenai rancangan Nabi menakluk Makkah. Nabi berkata , “Dia itu mengikuti
perang Badr, betapa hilang ingatanmu kalau Allah melihat ahli Badar dan
berfirman : “Lakukanlah apa yang kalian kehendaki!, sungguh aku telah
mengampuni kalian”.
(hadis Riwayat Bukhari)
Rifaa(ra) meriwayatkan:
Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertanya: “ Bagaimana pandangan kamu
tentang ahli Badar di kalangan kamu? “ Nabi menjawab: “ Mereka adalah
golongan terbaik di kalangan Muslimin.” Jibrail berkata: “ Begitu juga pandangan
Malaikat yang turut menyertai Perang Badar”.
(hadis Riwayat Bukhari)
Mengapa kedudukan mereka begitu tinggi?
Mereka ialah orang yang dipilih oleh Allah menjadi pembela agama dalam
keadaan yang begitu genting. Mereka adalah orang melayakkan diri menerima
anugerah dari Allah berupa pertolongan langsung dari para malaikat:
(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu
diperkenankan-Nya bagimu : "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala
bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang bertutut-turut".
(surah al-Anfaal:9)
Mereka melayakkan diri kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk
Islam. Mereka menerima Islam di saat orang lain mencemuhnya. Mereka
pasrah taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka benar-benar mengotakan janji
mereka untuk bekorban demi mempertahankan Islam. Mereka bersedia mati
kerana mempertahankannya. Mereka maju ke depan sekalipun mereka tahu
mereka bakal berdepan dengan tentera yang jauh lebih besar dan lebih baik
kelengkapannya. Mereka tidak meninggalkan Nabi dalam saat genting
sedemikian. Apabila mendapat berita tentang pergerakan tentera Quraish,
Rasulullah (saw) bermesyuarat dengan para Sahabatnya. Lihat apa yang
dikatakan oleh Miqdad Ibn Amr (ra):
"Rasulullah, teruskanlah apa yang sudah ditunjukkan Allah. “Kami akan
bersama tuan. Kami tidak akan mengatakan seperti Banu Israil yang berkata
kepada Musa: "Pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah. Kami di
sini akan tinggal menunggu. Tetapi, pergilah engkau dan Tuhanmu, dan
berperanglah, kami bersamamu akan juga turut berjuang.”
Demikian ciri-ciri khusus para ahli Badar yang telah mendapat anugerah yang
begitu tinggi dari Allah. Sempena bulan Ramadhan ini, ulangtahun perjuangan
mereka, marilah kita mencontohi mereka dengan berusaha untuk berkorban
setakat kemampuan kita demi untuk agama yang tercinta. Semoga Allah
mengurniakan kita sebahagian dari sifat dan ciri ahli Badar.
No comments:
Post a Comment