Renungan Ramadhan 29
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Esok, kita dijangka menyambut 1 Syawwal, di mana kita merayakan Aidilfitri.
AIDILFITRI adalah hari raya khusus untuk orang yang bertakwa selepas sebulan
berpuasa.
Aidilfitri juga hari perayaan iman. Bagi setiap orang yang benar-benar memahami
serta menghayati Islam akan menginsafi dan merasai bahawa betapa
gembiranya mereka pada hari ini.
Allah menetapkan Aidilfitri sebagai hari kegembiraan dan kemenangan bagi
orang beriman. Kita perlu merasakan hakikat nikmat Allah yang lengkap dan
sempurna ketika menyambut hari lebaran ini.
Betapa agungnya Aidilfitri jelas dilihat apabila Rasulullah saw melarang umatnya
(haram) daripada berpuasa pada hari itu.
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, katanya: “Aku pernah mendengar
Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak boleh berpuasa pada dua hari
tertentu iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka daripada Ramadan
(Aidilfitri).” (Hadis riwayat Muslim).
Kenikmatan berhari raya hanya dapat dirasakan oleh orang yang berpuasa
Ramadan dalam erti kata sebenar saja. Maksudnya, orang yang melaksanakan
ibadat puasa semata-mata kerana tunduk dan patuh kepada perintah Allah.
Bukan mulut mereka saja berpuasa, malah anggota badan lain seperti telinga,
mulut, hidung dan mata dipelihara daripada melakukan perkara keji dan kotor.
Orang yang hanya sekadar “puasa-puasaan” atau tidak berpuasa dengan
sengaja tanpa sebab dibenarkan syarak, bagi mereka hari raya tidak mempunyai
sebarang erti dan nilai.
Sesungguhnya, kegembiraan berhari raya itu bukan diukur dan bergantung
kepada kehebatan pakaian atau hiasan serta banyaknya makanan pada hari
raya. Ia terletak kepada sejauh mana bertambahnya ketakwaan dan keimanan
seseorang itu.
Kedatangan Aidilfitri hendaklah disambut dengan ucapan takbir dan tahmid.
Takbir dan tahmid yang kita ucapkan pada malam dan pagi hari raya
mengandungi dua makna. Pertama, menyambut kedatangan Syawal yang mulia
dan kedua, menunjukkan kesedihan di atas pemergian Ramadan al-Mubarak.
Dalam kemeriahan menyambut hari raya, janganlah sekali-kali dilupai orang
yang tidak berkemampuan. Sebagai tanda mensyukuri nikmat yang Allah
kurniakan kepada kita, berilah bantuan kepada mereka dan binalah
persaudaraan Islam sejati.
Kedatangan 1 Syawal tidak seharusnya dicemari dengan hiburan yang
melampaui batas. Sebaliknya, perayaan Islam dimulakan dengan takbir dan
tasbih memuji dan menyucikan Allah.
Rasulullah menyarankan agar umat Islam menyambut hari raya ini dengan
banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda bermaksud:
“Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid
dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah)." (Hadis riwayat al-Thabrani).
Laungan takbir yang berkumandang di seluruh pelusuk tanah air, pasti
menyejukkan jiwa. Ia akan kembali menenangkan fikiran, melapangkan hati
untuk bermaafan, menjalin dan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang lama
terjalin sesama umat Islam.
Semoga Allah menerima puasa kita, solat kita, doa kita dan semua amalan kita.
Semoga Allah membantu kita untuk meneruskan amalan-amalan ini secara
berterusan sepanjang tahun; biarpun sedikit sebagaimana di dalam hadis Aisyah
(ra) yang berkata yang maksudnya
"Ditanya Nabi (saw) tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda
bersabda: "Amalan yang berterusan walaupun sedikit."
(Hadis riwayat Bukhari)
SELAMAT HARI RAYA .. Maaf Zahir Batin
Wabillahi taufik wal Hidayah.
No comments:
Post a Comment