Renungan Ramadhan 18
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita semua maklum bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah di bulan Ramadhan.
Para ahli seerah menerangkan bahawa pada satu malam di bulan Ramadhan,
ketika Nabi (saw) sedang bertahannuth di gua Hira’ turun malaikat Jibrail
menyuruh baginda membaca.
Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan, Dia telah
menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang
Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.
(surah al-Alaq:1-4)
Rata-rata umat Islam maklum akan kisah penurunan wahyu pertama ini. Kita
sering membaca ayat-ayat ini tetapi mungkin kita kurang memahami implikasinya
yang mendalam. Kita kurang menyelami makna kepada wahyu pertama ini.
Mungkin itu salah satu sebab, kita kurang mengambil endah kitab wahyu yang
kini berada di dalam almari atau di atas rak mengumpul debu.
Menurut Sayyid Qutb dalam kitab Tafsirnya, Fi Zilal Quran, peristiwa penurunan
wahyu pertama ini ini amat bermakna serta mempunyai implikasi dan
kepentingan yang amat besar. Menurut beliau “ tidaklah keterlaluan jika
dikatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa terbesar dalam sejarah
kewujudan umat manusia!”.
Hakikat sebenar peristiwa ini ialah Allah (swt), Yang Maha Agung, Maha Perkasa
dengan sifat pemurah dan rahmah-Nya, telah mengambil berat tentang
makhluk-Nya yang bernama manusia yang menghuni setitik planet bernama
bumi di pinggir cakrawala yang luas ini. Allah telah dengan rahmat-Nya lagi
sekali dan bagi kali terakhir memilih salah seorang dari penghuni tersebut untuk
menerima cahaya rabbani dan melantiknya menjadi pendokong kepada risalah-
Nya. Ini adalah peristiwa yang amat besar ertinya. Jika dibayangkan kekerdialan kita
sebagai manusia dan kebesaran dan ketinggian Allah sebagai Pencipta dan
Pemilik Alam Semesta, maka makin jelaslah bahawa keperihatinan Allah
terhadap makhluk yang berada di ceruk terpencil di dalam cakarawala ini
merupakan pancaran dari sifat Penyayang Allah.
Pada malam penurunan ayat-ayat awal surah al-Alaq ini, Allah membuat
hubungan secara langsung dengan seorang manusia di bumi. Pada malam ini,
Allah endah (care) terhadap manusia. Pada malam ini, bumi disirami dengan
kalimah Allah. Peristiwa besar ini membawa perubahan yang besar kepada kehidupan manusia dan dunia. Ia menjadi titik tolak di mana manusia lagi sekali diseur kembali untuk melihat kepada Allah sebagai sumber hidayah; sumber peraturan kehidupan. Para sahabat Nabi (saw) tahu bahawa inilah sahaja tempat mereka mengambil sumber untuk setiap hukum, peraturan atau cara hidup yang mereka akan jalani.
Dan perhubungan yang mulia ini berterusan sehingga 23 tahun.
Para sahabat memahami hakikat ini. Mereka jelas kedudukan dan
keistimewaan yang mereka kecapi. Dan mereka tahu perhubungan dengan
Yang Maha Tinggi ini berakhir dengan kewafatan Nabi (saw).
Anas menceritakan bahawa Abu Bakar (ra) berkata kepada Umar (ra) selepas
kewafatan Nabi (saw). “Marilah kita menziarahi Ummu Ayman (Pengasuh Nabi)
seperti mana yang sering dibuat oleh Rasulullah (saw).” Apabila mereka
menemui Ummu Ayman, beliau menangis. Mereka berkata, “ Kenapa anda
menangis sedang kan anda tahu bahawa berada di sisi Tuhan adalah lebih baik
bagi Nabi?” . Beliau menjawab: “ Benar! Tetapi aku menangis kerana dengan
kematian Baginda, wahyu dari langit kini tidak lagi turun!” Air mata berlinangan
dan ketiga-tiga mereka pun menangis.
(hadis Riwayat Muslim)
Demikian kefahaman yang ada pada para sahabat tentang betapa bermaknanya
wahyu Ilahi.
Wahyu itu kini masih ada di tangan kita. Cuma sejauh manakah kita kini
menghargai wahyu suci tersebut; membacanya, menyelami maksudnya dan
menghayatinya dalam mengatur kehidupan kita di muka bumi ini.
No comments:
Post a Comment