Arkib

Saturday, 20 August 2011

TAZKIRAH RAMADHAN 23


Renungan Ramadhan 23

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita tahu bahawa sedekah jariah adalah salah satu dari amalan yang akan
menjadi saham bagi kita secara berpanjangan, pahalanya terus menerus masuk
ke ‘akaun’ kita hatta setelah jasad kita ditelan bumi.
Kita juga maklum bahawa bulan Ramadhan ialah bulan Sedekah, seperti yang
telah disebutkan dalam Siri ini (Renungan Ramadhan 15). Kita sudah
menyebutkan bahawa di dalam hadis mengenai Jibrail datang menemui Nabi
(saw) dan bertadarus dalam bulan Ramadhan ada dinyatakan bahawa “Nabi
(saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada
bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-
Qur’an.”
Mungkin ada di antara kita yang melihat bahwa sedekah adalah untuk orangorang
yang kaya dan berharta kerana sedekah semestinya dengan wang ringgit
atau harta benda. Namun Islam telah meluaskan konsep sedekah ini kepada
semua perkara yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. Di
zaman Nabi (saw) terdapat golongan sahabat yang berharta mampu untuk
bersedekah harta benda di samping mereka melakukan ibadah khusus yang
lain. Perkara ini menimbulkan kegusaran di kalangan sahabat yang tidak
berharta kerana mereka melihat peluang mereka untuk mendapat pahala tidak
sebaik rakan-rakan mereka. Di sini kita lihat bagaimana generasi tersebut risau
kerana mereka mempunyai peluang tipis untuk menang dalam “perlumbaan
mencari pahala”. Bandingkanlah sikap ini dengan sikap kita yang berlumba
untuk selain dari pahala. Perhatikan hadis ini:
Dari Abi Dzar (ra), bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat
Nabi (saw) berkata kepada Nabi (saw) : Ya Rasulullah! Orang-orang yang
mempunyai harta (orang kaya) telah (berpeluang) mendapat lebih banyak pahala
dari kami. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang dan mereka
puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan
harta-harta mereka.
Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kami sesuatu untuk
kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir itu
sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh
dengan maaruf itu sedekah dan melarang dari yang munkar itu sedekah dan
pada kemaluan seseorang itu juga sedekah. Mereka berkata: Ya Rasulullah!
Adakah seseorang kami menggunakan syahwatnya dan baginya pahala pada
perbuatannya itu? Sabda baginda: Apakah pendapatmu kalau digunakannya
pada yang haram, adakah dosa atasnya? Maka demikian pula apabila digunakan
pada yang halal, maka baginya pahala
(Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis lain:
Dari Abu Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (saw) : Tiap-tiap
anggota dari manusia tertanggung atasnya bersedekah pada tiap-tiap hari yang
terbit matahari. Engkau berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, dan
engkau menolong seorang lelaki untuk menaiki kenderaannya atau menolong
mengangkat barang-barangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik
adalah sedekah, dan tiap-tiap langkah engkau pergi sembahyang adalah
sedekah, dan engkau membuang bahaya dari jalan juga sedekah.
(Hadis riwayat Muslim)
Demikian luasnya ruang lingkup sedekah. Para Ulama telah menghuraikan
hadis ini bahawa sedekah terbahagi kepada dua jenis; untuk manfaat diri sendiri
seperti tasbih, tahmid, perhubungan suami isteri dsbnya dan yang
memanfaatkan orang lain seperti membuang halangan, ringan tulang membantu
orang lain dengan tenaga, berlaku adil dan melaksanakan amar maaruf nahi
munkar, selain dari sedekah harta benda untuk orang yang memerlukan.
Kita jelas kini bahawa ufuk, jenis dan ruang lingkup untuk bersedekah itu begitu
luas. Tidak ada sebab untuk kita mengatakan bahawa kita tidak mampu untuk
bersedekah teruatma di bulan yang berkat ini. Maka marilah kita bersegera
untuk bersedekah dengan pelbagai cara mengikut kemampuan kita, terutama
mengambil berkat dari Bulan Ramadhan yang mulia ini.

No comments:

Post a Comment