Arkib

Tuesday, 9 August 2011

TAZKIRAH RAMADHAN 12


Renungan Ramadhan 12

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kembali kita kepada isu solidariti umat seperti kita telah bincangkan di dalam
Renungan Ramadhan 10.
Ramadhan mengingatkan kita bahawa Umat Islam adalah satu. Ia umpama satu
badan, seperti disebut oleh Nabi saw:
“Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat
merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh,
apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya
dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Saban hari media cetak dan elektronik memaparkan penderitaan umat Islam di
seluruh dunia. Palestin, Kashmir, Afghanistan, Chechnya, Iraq dan banyak lagi
tempat sentiasa mengalirkan darah Muslimin; rakan saudara seagama dengan
kita. Tidak putus-putus kita didedahkan dengan penipuan, kezaliman dan
penindasan yang dikenakan ke atas saudara-saudara kita. Soalannya.. adakah
kita seumpama badan tersebut yang turut merasa demam, tidak dapat tidur
kerana sebahagian dari anggota badan kita sedang menderita kesakitan.
Sebahagian mereka tidak dapat merasa aman seperti yang kita rasai.
Sebahagian mereka tidak mampu menikmati sesuap makanan dalam sehari.
Sebahagian tidak mempunyai bekalan air untuk keperluan diri. Sebahagian tidak
mempunyai pakaian bagi menutup aurat dengan sempurna. Anak-anak kecil
kehilangan ayah, ibu kehilangan anak, keluarga kehilangan tempat
perlindungan.. senarai penderitaan mereka berpanjangan..
Mereka juga manusia seperti kita. Mereka juga Muslim seperti kita. Dalam
hadis yang masyhur Nabi (saw) bersabda:
“Tidak beriman salah seorang darimu, hingga ia mencintai untuk saudaranya
seperti ia mencintai untuk dirinya sendiri.”
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sewajarnyalah, dalam bulan solidariti umat ini, kita luangkan masa untuk menilai
sumbangan kita kepada mengurangkan penderitaan saudara-saudara kita ini.
Untuk sumbangan kewangan, peluang sebenarnya terbuka kerana pelbagai
pertubuhan seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia
(ABIM) dan MERCY Malaysia ada menganjurkan Tabung Khas bagi
meringankan penderitaan mereka. Setidak-tidaknya, gunakanlah kesempatan
keemasan yang ada dalam saat-saat keberkatan bulan Ramadhan untuk
mendoakan kesejahteraan dan kemenangan bagi saudara-saudara kita kita.
Semoga kita termasuk dalam kumpulan yang tersebut oleh sabda Rasulullah
(saw):
"Apabila seorang berdoa bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, berkatalah
para Malaikat: Bagi kamu seperti itu juga."
(hadis riwayat Muslim dan Termizi)



No comments:

Post a Comment